Majlis Konvokesyen Program Belia CGT 2008 Raikan Pelajar-pelajar Cemerlang

2 February 2008

Majlis Konvokesyen Program Belia CGT 2008 telah berlangsung dengan meriah di MPH, Kompleks Sukan & Rekreasi Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said pada 28 Januari 2008, di Kolej SEGi Malaysia, Kota Damansara. Perisytiharan pembukaan Majlis Konvokesyen oleh YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Belia & Sukan Malaysia ini, yang disaksikan oleh hampir 1000 orang tetamu yang terdiri dari para graduan, ibu bapa, para pegawai kanan dari Kementerian Belia & Sukan (KBS) serta warga kerja Kolej SEGi .

Majlis Konvokesyen ini dianjurkan untuk meraikan para pelatih sesi pengambilan Ogos 2006 yang telah tamat latihan pada Ogos 2007 yang lepas. Majlis ini telah dijalankan di dalam dua sidang di mana penyampaian sijil dilakukan oleh YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said pada sidang pertama dan Prof. Dr. Muhamad Bin Awang, Pemangku Ketua Eksekutif, Kolej SEGi bagi sidang yang kedua.

Program Belia CGT merupakan salah satu program Pembangunan Modal Insan yang diharapkan dapat melengkapkan para belia di Malaysia dengan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pelatih program ini ditaja oleh Kementerian Belia & Sukan yang merangkumi yuran keseluruhan latihan dan elaun sara diri. Program selama setahun ini juga membolehkan belia berusia 18 hingga 25 tahun yang memiliki sekurang-kurangnya lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti mana-mana kursus seperti Mekanik Kenderaan Motor, Perekabentuk Multimedia (Visual & Animasi), Juruteknik Sistem Komputer, Juruteknik Elektrik, Penyedia Makanan dan Kaptan Makanan & Minuman. Komponen tambahan yang dimasukkan adalah modul khas KBS iaitu Pembangunan karakter, Keusahawanan, Pengajian Islam & Pengetahuan Moral serta modul Bahasa Inggeris dan Kemahiran Komputer.

Seramai tujuh orang pelatih telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi setiap kursus di atas pada Majlis Konvokesyen berkenaan. Pelajar terbaik bagi kursus Penyedia Makanan, Zalhairul Bin Said kini merupakan seorang usahawan perniagaan makanan barat, Big Mouth yang dikongsi bersama rakan karibnya dan kini semakin dikenali ramai di Sg. Petani. Ibu saudara beliau yang merupakan pengasas Shusse Enterprise, sebuah syarikat katering adalah sumber inspirasi beliau dalam memulakan langkah pertama ke arah menjadi seorang usahawan berasaskan makanan yang berjaya. Nasihat beliau, para belia hendaklah berani merealisasikan impian dan melakukan sesuatu agar mereka tidak tertinggal dari arus pembangunan Negara.

Loganathan A/L Mogan pula telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi kursus Perekabentuk Multimedia (Visual & Animasi). Beliau yang kini bertugas sebagai Pereka Grafik di Jabatan Pemasaran SEGi Training Centre, Seri Kembangan juga merupakan seorang yang sangat aktif dengan pelbagai aktiviti Rakan Muda yang dianjurkan oleh Jabatan Belia di tempat kelahirannya di Port Dickson. Malah beliau mendapat maklumat  bagi menyertai Program Belia CGT ketika mengikuti Kursus Patriotik anjuran jabatan tersebut pada tahun 2006. Beliau juga berhasrat untuk meneruskan pendidikan beliau hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Loganathan percaya dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti Rakan Muda, mampu membimbing beliau memiliki gaya hidup sihat dan berwawasan.    

Pencapaian cemerlang Mariani Binti Mahmud telah membolehkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi kursus Juruteknik Sistem Komputer. Berbeza dengan rakan-rakannya, sifat kematangan, dedikasi, kesungguhan dan keterampilan beliau menyebabkan beliau juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Majlis Konvokesyen Program Belia CGT 2008. Mariani yang jelas terharu dengan pemilihan beliau menitiskan airmata di hadapan YB Dato’ Sri Azalina ketika menerima penghargaan tersebut, kini lebih bersemangat untuk meneruskan usahanya mengejar cita-cita dan berharap dapat mengubah masa depan keluarganya.

Apa yang menariknya, Alumni Program Belia CGT juga telah dilancarkan sempena Majlis Konvokesyen yang julung kali diadakan dan kesemua graduan telah pun mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagaimana kebiasaannya, alumni ini diharapkan boleh membantu ahli-ahlinya meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui jalinan rangkaian yang bermanfaat.

Mengikut kajian jejak (Tracer-Study) yang dijalankan, hampir 50% pelatih bagi program ini telah mendapat pekerjaan, 26% telah melanjutkan latihan atau pendidikan ke peringkat lebih tinggi dan 7% lagi telah berjaya membuka perniagaan sendiri dan menjadi usahawan.

Dengan kejayaan ini, Program Belia CGT telah membuka peluang kepada 800 orang pelatih di dalam tahun 2007 dan jumlah tersebut meningkat kepada 1,975 orang pelatih bagi sesi pengambilan Januari/ Februari tahun 2008. Unit Pengambilan dibuka sekarang bagi kemasukan tersebut untuk kursus-kursus Penyediaan Makanan, Kaptan Makanan dan Minuman, Pelukis Pelan Kejuruteraan Awam & Struktur, Penyelia Kaunter Hadapan, Kerani Tempahan & Tiketan, Pereka Grafik dan Perekabentuk Multimedia (Visual & Animasi). Sila hubungi Sekretariat Program Belia CGT di talian 03-8948 4811 atau 03-3101 3966/ 3967/ 3968/ 3969/ 3670 untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.    

Info Ringkas:

  • Program Belia CGT diinisiatif oleh YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said pada 2005
  • Pelatih akan ditaja yuran latihan selama satu tahun dan menerima elaun sara diri
  • Staistik Pengambilan Ogos 2006 menunjukkan 50% pelatih telah mendapat pekerjaan, 26% melanjutkan latihan atau pendidikan ke peringkat lebih tinggi dan 7% membuka perniagaan sendiri.
  • Pengambilan Januari/ Februari 2008 di buka sekarang
  • Hubungi Sekretariat Program Belia CGT di talian 03-8948 4811 atau 03-3101 3966/ 3967/ 3968/ 3969/ 3670

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
CIK HAFIZAH JOHAR
Centre Manager

SEGi Training Centre
Seri Kembangan
Tel : +603 8948 4811
Fax : +603 8945 4066